Isnin, 15 Februari 2010

ILMU DAN PEMBAHAGIANNYA

Ilmu bermaksud:
1. Pengetahuan yang lengkap untuk mengetahui tanggapan / gambaran dan hukum / penetapan – mengikut pengertian ahli mantik.

2. Mengetahui hubungan / nisbah hukum /penetapan sahaja.

Pengertian ilmu: mendapat gambaran sesuatu (yang terbentuk) dalam fikiran.

Ilmu terbahagi kepada Tasawwur dan Tasdiq:

Tasawwur : mengetahui sesuatu benda tanpa apa-apa penetapan samada menetapkan atau menafikan.
Contoh: mengetahui tentang bunga, sekolah, matahari.

Huraiannya:
Idrak – akal memahami maksud sesuatu benda.
Mufrad – nisbah hukum
* Nota:
Nisbah hukum adalah berkaitan Tasdiq sahaja dalam ayat khabariah yang lengkap dan selainnya adalah Tasawwur.

Tasdiq :
1. Mengikut mazhab ahli pujangga : Tasdiq - mengetahui hubungan makna sesuatu perkataan dengan perkataan lain.
Contoh :
• ‘Bunga itu cantik’ (nisbah “bunga” dan “cantik” memang benar),
• ‘Ilmu itu bermanfaat’ (nisbah “ilmu” dan “bermanfaat” memang benar).
• ‘Muhammad bukan seorang yang pengecut’.
(nisbah “Muhammad” dan “sifat pengecut” sebenarnyidak berlaku),
• ‘Ali tidak bermusafir’.
(nisbah “Ali” dan “bermusafir” sebenarnya tidak berlaku) .

2. Mengikut mazhab Imam Ar-Razi: Tasdiq terdiri daripada empat ciri:

1. Mengetahui Maudu’/ Mahkum ‘alaih
2. Mengetahui Mahmul / Mahkum bih
3. Mengetahui nisbah hukum
4. Mengetahui nisbah ayat (samada benar-benar berlaku atau tidak).
* Nota:
Ilmu Allah tidak boleh dibahagikannya kepada Tasawwur dan Tasdiq kerana boleh menimbulkan kesamaran ianya menyerupai makhluk sedangkan Allah s.w.t Maha Suci daripada yang sedemikian.


Pembahagian tasawwur dan tasdiq kepada nadzari dan daruri

Daruri – Sesuatu yang tidak memerlukan kepada kajian dan penelitian.

Daruri merangkumi – apa yang dinamakan oleh ahli mantik dengan:
1. pengetahuan awal – sesuatu yang diketahui manusia untuk pertama kali, seperti: satu adalah separuh dua.
2. Sangkaan/agakan – sesuatu itu diketahui berdasarkan sangkaan/agakan, seperti: cahaya bulan berpunca dari matahari.
3. Kajian - sesuatu itu diketahui berdasarkan kajian, seperti: ‘Asprin’ – dapat mengurangkan sakit kepala.

Nadzari - Sesuatu yang memerlukan kepada kajian dan penelitian.
Nazari merangkumi: Qias, penyelidikan dan perbandingan.

Tasawwur :
1. Daruri, contohnya : Mengenali buah epal, malam, siang.

2. Nadzari, contohnya: Mengetahui tentang roh dan iman.

Tasdiq:
1. Daruri, contohnya: Mengetahui bahawa satu adalah setengah daripada dua, langit di atas kita, anak lebih muda (usianya) daripada bapa.

2. Nadzari, contohnya: Mengetahui tentang iman bertambah dan berkurangan, roh itu kekal setelah binasa jasad.

* Nota:
1. Tasawwur perlu mendahului tasdiq kerana ianya adalah dua bahagian bagi nisbah hukum.
2. Perkara yang dapat membantu seseorang untuk mendapat gambaran tentang sesuatu, bagi ahli mantik dikenali sebagai mu’arraf, ta’rif dan qaul syarih untuk menjelaskan hakikat sesuatu.
3. Perkara yang dapat membantu seseorang untuk mendapat kepastian tentang hakikat sesuatu, dinamakan sebagai hujjah, qias dan dalil.

0 ulasan: